Aku menarik perlahan album yang setelah sekian lama tersimpan rapi di rak buku. Rasanya sudah 4 tahun aku tidak menyentuh album itu. Dan selama itu jugalah aku tidak menambah mahupun mengeluarkan gambar-gambar yang terdapat di dalamnya. Entah mengapa hari ini hatiku terdetik untuk membelek-beleknya. Setelah album tersebut telah berada dalam tanganku, aku menghenyakkan punggungku di atas sofa yang terletak bersebelahan dengan katilku. Dengan perlahan aku meniup dan menyapu habuk dipermukaanya. Terasa sedikit gatal hidungku apabila menghirup udara yang bercampur habuk. Dengan perlahan, aku menyelak helaian demi helaian. Aku melihat diriku ketika berada dalam darjah satu. Berdiri dihujung sekali dengan berpakaian skirt sekolah. Aku tergelak sendirian mengenangkan hanya di situlah aku akan ditempatkan setiap kali gambar kelas diambil. Maklumlah, aku sentiasa menjadi pelajar yang paling rendah dalam setiap kelasku. Aku lihat satu-satu gambar kawan-kawanku dahulu. Rindu sungguh rasanya untuk kembali ke masa itu. Pada masa yang hanya dipenuhi dengan kegembiraan dan keceriaan, tanpa sebarang masalah yang perlu difikirkan. Indah sungguh waktu itu.
Aku beralih ke muka surat berikutnya. Melihat gambar-gambar ketika di waktu aku berada dalam darjah dua, tiga, empat dan seterusnya. Gambar sukan sekolah, hari guru, hari kanak-kanak , hari pakaian beruniform, gambar-gambar lawatan sekolah dan tidak ketinggalan gambar-gambar pada hari-hari selepas peperiksaan. Semuanya tersimpan rapi di dalam album. Aku meneruskan menyelak helaian demi helaian sehinggalah pada gambar ketika aku berada di tingkatan 5. Mataku tertancap pada sebuah wajah yang telah lama tidak aku temui. Banyak kenangan lama yang terimbau dalam kotak ingatanku. Semuanya kini seolah-olah bermain-main di ruang mataku. Betulkah dia bersalah atau aku yang terlalu cepat membuat keputusan? Aku bermonolog sendirian. Hanya keluhan yang dapat aku berikan.
Muhammad